Kek Cawan Terbang

 

Alia membelek majalah Mingguan Wanita. Halaman pertama yang dibaca adalah ruangan petua. Semua petua dikumpul sehingga boleh menjadi satu buku. Kadang-kadang dia sanggup pergi ke kedai buku dan duduk di situ berjam lamanya semata-mata ingin mencari buku-buku yang berkaitan dengan petua. Tak kiralah petua untuk kecantikan, petua kesihatan , petua kebahagiaan dalam perhubungan, semuanya dikumpul dan dijadikan koleksi.

Dia melihat jam di tangan. Sudah hampir sepuluh setengah pagi. Sesekali dia jenguk ke luar tingkap bilik asrama. Bayang Yati masih belum nampak. Dia sambung semula membaca ruangan petua.

“Hmm..bagus  petua ni. Tak nak bagi daging liat, bubuh daun nangka masa masak daging..hmmm..mana nak cari daun nangka kat sini..”

“Yang ni pulak..nak bagi sambal nasi lemak sedap..bubuh sedikit gula melaka…hmm, okey jugak ni! Boleh cuba!”

Alia jenguk lagi ke arah tingkap. Biliknya yang terletak di tingkat bawah, memang mudah untuknya menjenguk atau melihat apa jua yang berlaku di luar. Kebetulan biliknya betul-betul mengadap gelanggang badminton dan juga surau.

“Mana Yati ni..dah hampir sejam aku tunggu.” Alia membebel sendiri.

Semalam dia sudah berjanji dengan Yati untuk sama-sama ke tapak ekspo konvokesyen.  Tidak sabar melihat barangan yang dijual di tapak ekspo. Semalam dia dapat tahu ada satu gerai yang menjual buku-buku petua yang lama dan dijual dengan harga murah. Dia membelek laju majalah Mingguan Wanita. Sesekali dia jenguk keluar tingkap. Kelihatan Yati sudah melambai ke arahnya. Cepat-cepat dia simpan majalah di atas meja belajar dan terus mendapatkan Yati yang tersengih dari tadi.

“Kenapa kau lambat? Dah kematu buntut aku lepak kat katil tu tau tak!” Alia segera tarik tangan Yati dan melangkah ke arah pintu utama asrama.

“Alah..kan ekspo tu buka pukul sepuluh. Baru setengah jam aku lewat!” Yati mengikut rentak Alia yang tergesa-gesa berjalan.

Jarak asrama dengan tapak ekspo tidak begitu jauh. Kebetulan tahun ini tapak ekspo dibuat di padang dekat dengan tasik dan kafeteria universiti.  Alia laju melangkah. Yati pula termengah-mengah mengikut rentak Alia yang  sudah tidak sabar ke tapak ekspo.

“Lia..kau ni laju sangat la. Lenguh kaki aku tau tak!” Yati mula mengomel. Nyata Alia begitu teruja melihat gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan.

Alia hanya senyum. Dia biarkan saja Yati mengomel sendiri. Dia perlu mencari gerai yang menjual buku-buku petua. Dia perlu dapatkan buku-buku itu untuk koleksi peribadi. Matanya melilau mencari gerai yang menjual buku.

“Yati, kau tau tak kat mana gerai yang jual buku lama?” Alia mula pening bila melihat begitu banyak gerai menjual buku di situ.

“Aku rasa di hujung sana tu.” Yati tuding ke arah sebuah gerai yang agak jauh tapi jelas kelihatan kain rentang bertulis ‘Jualan Murah Buku Lama’.

Alia segera menarik tangan Yati menuju ke gerai tersebut. Kakinya laju melangkah meredah orang ramai yang mula berpusu-pusu memenuhi tapak ekspo. Yati yang hanya mengikut saja arah jalan Alia, sekali sekala dia hampir tersadung bila tersepak kaki orang yang lalu lalang di situ.

“Lia! Kau ni laju sangatlah! Macamlah gerai tu nak lari!” Yati mula perlahankan langkahnya.

Alia berpaling bila Yati lepaskan tangannya. Dia senyum. Tanpa menghiraukan Yati, dia terus saja menuju ke gerai hujung.

Tiba di gerai, dia melihat banyak buku-buku lama dijual di situ. Dia sempat menoleh ke arah orang ramai. Kelihatan Yati sedang berjalan perlahan di celah-celah orang ramai sambil minum air tin. Dia segera meninjau buku-buku yang dijual di situ. Rambang mata melihat banyak buku petua tersusun kemas di meja di bahagian dalam gerai. Berhimpit-himpit pengunjung memasuki gerai yang agak sempit.

Alia senyum bila melihat Yati termengah-mengah bila sampai di situ. Dia segera tarik tangan Yati ke dalam gerai sambil menunjukkan susunan buku petua di situ. Yati sengih. Nyata Alia terlalu obses dengan buku-buku petua. Entah praktik entah tidak.

“Yati, kau tengok ni! Petua untuk memilih calon suami yang baik. Ha..kau bolehlah beli ni! Kau kan suka sangat nak tahu ciri-ciri lelaki yang layak dijadikan suami!” Alia sengih sambil membelek buku yang bertajuk ‘ Petua Memilih Calon Suami’

Yati sengih lagi. Cari calon suami pun ada petua jugak ke? Dia geleng. Terpengaruh dengan minat Alia, Yati turut melihat-lihat buku-buku petua yang begitu banyak di situ. Pilih saja mana yang berkenan. Dia ikut saja ke mana Alia pergi. Dia setia berdiri di sebelah Alia. Ingin melihat buku petua macam mana yang menjadi pilihan Alia. Dia senyum lagi. Alia begitu leka membelek buku yang berlambak di situ.

Alia pula, sudah tiga buku dikepit bawah ketiaknya. Dia masih mencari buku yang sesuai. Kali ini petua mengenai kecantikan. Teringat barang kosmetik yang mahal di pasaran. Pelembap saja sudah lebih dua puluh ringgit. Belum lagi pencuci muka dan ubat hilang jerawat. Tangannya laju membelek sebuah buku petua kecantikan, siap dengan gambar berwarna.

“Hmm..aku suka ni. Eh! Ada petua untuk melembapkan kulit muka. Sapu madu dan kubis yang telah ditumbuk lumat dan lumurkan pada muka selama sejam..best ni!” Alia cepat-cepat ambil buku tersebut. Dia berpaling sebelah, Yati sudah tiada di sebelahnya.

Selesai membayar matanya melilau mencari kelibat Yati.

“Mana pulak si Yati ni?” Alia garu kepala.

Alia tersenyum puas. Satu beg plastik buku-buku petua sudah dibeli tadi. Dia masih menunggu di gerai itu, bimbang Yati akan mencarinya nanti kalau dia ke gerai lain. Sambil menunggu, dia sempat jeling beberapa buah buku yang diletak di luar gerai.

“Eh..baju kakak ni lebih kurang sama dengan aku..” Alia jeling seorang perempuan yang berdiri di sebelah. Perempuan itu memakai baju warna hitam berlengan panjang dan juga berseluar jeans longgar. Tudung pula seakan sama dengannya, tudung bawal putih yang ada sedikit bunga kecil walaupun corak bunga tidak sama.

Alia senyum. Nasib baik tidak sebiji sama. Kalau tak tentu aku dan kakak tu dah jadi boria pulak! Alia gelak sendiri. Dia lihat perempuan itu juga leka membelek majalah dan buku di gerai itu.

Alia lihat jam. Sudah hampir sepuluh minit dia tunggu. Yati masih tidak muncul.

“Mana pulak minah ni pergi? Kut ya pun bagi tahulah nak pergi mana..senang nanti aku cari.” Alia mengomel  sendiri.

Dia menyambung melihat buku-buku di situ. Perempuan yang berbaju seakan sama dengannya masih berada di sebelah.

Tiba-tiba Alia terasa ada seseorang menarik tangannya dan berjalan laju ke depan, keluar dari gerai. Dia cuba mengamati wajah lelaki yang tiba-tiba menggenggam tangannya tadi. Lelaki itu laju berjalan meredah orang ramai yang berkunjung ke situ tanpa menoleh ke arahnya. Dia terpaksa mengikut rentak lelaki itu. Jelas kedengaran lelaki itu mengatakan sesuatu.

“Cepatlah! You buat apa kat situ lama sangat! I dah lapar ni!”

Lelaki itu terus menarik tangan Alia menuju ke gerai yang menjual makanan dan minuman. Alia tergamam.

“Err..encik! Encik dah salah orang ni!” Alia cuba bersuara di celah orang ramai. Bunyi bising sekitar tapak ekspo menyebabkan suaranya tidak jelas didengar oleh lelaki tadi.

Lelaki itu terus menarik tangannya. Sesekali dirasakan kakinya tersadung dan hampir jatuh bila ditarik begitu. Beg plastik yang penuh dengan buku juga hampir jatuh. Alia cuba pandang ke belakang, mana tahu Yati sudah ada dekat gerai tadi. Dia cuba rentap tangannya dari genggaman lelaki tadi tapi genggaman lelaki itu nyata terlalu kuat.

Sebaik Alia pandang ke belakang, matanya terbeliak. Perempuan yang memakai baju yang hampir sama dengannya tadi turut berlari ke arahnya. Seolah-olah mengejar sesuatu. Alia dapat melihat riak wajah perempuan itu seperti mahu menerkamnya. Matanya beralih pula pada tangan perempuan itu yang menggenggam dua biji kek cawan.

“Alamak! Kenapa perempuan tu kejar aku?” Alia cuba lepaskan genggaman tangan lelaki yang masih menariknya ke arah gerai makanan.

“Encik! Hello!”

Lelaki itu tidak mendengar jeritannya. Sebaliknya dia terus menarik tangan Alia di celah-celah pengunjung.

Alia menoleh lagi ke belakang. Perempuan tadi masih mengejarnya. Laju kakinya melangkah dengan muka marah. Alia jeling kek cawan di tangan perempuan itu, sudah penyek!

“Encik! Encik salah orang ni! Lepaskan tangan saya!” Alia jerit lagi. Kali ini lelaki itu mula berpaling.

Alia masih tergamam dengan tindakan lelaki itu. Dia lihat lelaki itu juga tergamam dan terkedu. Cepat-cepat lelaki itu melepaskan tangan Alia. Mukanya mula pucat.

“Maaf! Saya ingatkan girlfriend saya tadi! Maaf!”

Lelaki itu mula meminta maaf. Alia dapat melihat dengan jelas wajah kemerahan lelaki itu yang berkulit cerah cuba menahan malu. Lelaki itu tepuk dahi sambil tersenyum.

Alia menggosok tangannya yang mula terasa kebas akibat genggaman kuat lelaki tadi.

“Tak pa..awak tak perasan tadi kut..” Alia cuba senyum.

Alia pelik bila melihat wajah lelaki itu tiba-tiba pucat lesi seperti melihat sesuatu yang aneh.  Matanya luas. Peluh menitik di dahi. Dari riak wajah lelaki itu, Alia dapat meneka ada sesuatu yang dipandang lelaki itu ada di belakangnya.

Alia mula menoleh ke belakang. Mukanya turut pucat. Sebiji kek cawan sedang ‘terbang’ ke arah mereka. Alia cepat-cepat tunduk. Dia terduduk di depan lelaki itu. Mencangkung!  Mukanya ditutup dengan beg plastik. Bimbang kek cawan terbang tadi hinggap ke mukanya.

Paap!!

Alia beranikan diri memandang ke atas. Kek cawan terbang tadi sudah tiada. Perempuan itu masih tercegat di situ sambil menggenggam sebiji lagi kek cawan yang sudah penyek.

Alia pandang pula lelaki yang masih berdiri di depannya. Dia menutup mulutnya dari ketawa. Rupanya kek cawan terbang tadi sudah melekat di muka lelaki itu.

“Rasakan! Gatal nak cari perempuan lain!”

Alia pandang pula perempuan tadi yang mula bercekak pinggang. Mukanya semakin bengis.

“Sayang! Sumpah!  I tak sengaja!  I tersalah orang!” Lelaki itu menyapu tompokan kek cawan di mukanya.

Alia hanya melihat sebabak drama di depannya. Dia kini berada di tengah-tengah. Tak berani dia bangun. Ah! Bukan salah aku!

“Tak sengaja? Bukan main lagi pegang tangan minah ni! Kau pun sama! Gatal! Dah tahu boyfriend aku tersalah tarik tangan kau, kenapa kau biarkan saja dia pegang?” Perempuan itu mula marahkan Alia. Menuduh Alia perempuan gatal.

Alia mula rasa panas telinga bila dituduh begitu. Dia segera bangun sambil merenung perempuan  yang memakai baju seakan sama dengannya tadi.

“Apa kau cakap? Siapa yang gatal? Ni! Mamat ni yang gatal! Aku dah jerit banyak kali supaya lepaskan tangan aku tapi dia buat dek je!!” Kali ini Alia mula cekak pinggang. Beg plastik yang penuh dengan buku diletak atas batu bata tempat pejalan kaki.

Dia melihat sekeliling. Nasib baik tak ramai orang lalu lalang kat situ.

“Ah! Samalah tu! Kau ambik kesempatan ni  nak tackle boyfriend aku kan??” perempuan itu tak nak mengalah.

Alia semakin geram. “Tackle boyfriend kau?? Please la!!!”

“Sudahlah sayang. Dia tak salah! I yang salah okey!” Lelaki itu cuba menenangkan keadaan tapi masih tidak berani mendekati perempuan itu.

Kedudukan masing-masing masih sama. Alia di tengah-tengah. Di depannya lelaki tadi dan belakangnya pula masih perempuan berwajah bengis itu.

“Ah! Dua-dua gatal! Rasakan!”

Sekali lagi kek cawan mula terbang ke arah Alia dan lelaki itu. Alia sekali lagi cepat-cepat bertindak dengan segera tunduk dan duduk. Kelajuan kek cawan terbang nyata tidak selaju tindakannya.

Paap!!!

Alia dongak. Sekali lagi kek cawan terbang itu hinggap ke muka lelaki itu. Kali ini Alia tidak dapat menahan ketawa. Ketawanya mula pecah berderai! Muka lelaki itu seperti disapu krim malam. Ada warna putih, pink dan coklat!

Dia pandang pula perempuan tadi. Perempuan itu turut ketawa dan terus berlalu pergi meninggalkan lelaki itu. Puas hati agaknya! Alia pula mula ambil semula beg plastik yang diletak di tepi tadi.

“Saudara…lain kali jalan siang pandang-pandang! Nasib baik girlfriend saudara  lempar kek cawan, kalau piring terbang tadi, macam mana??” Alia ketawa lagi.

Lelaki itu mula senyum. Seketika kemudian dia pun turut ketawa terbahak-bahak.

Alia masih ketawa. Tiba-tiba Yati muncul.

“Kenapa dengan kau ni? Ketawa sorang-sorang!” Yati lihat sekeliling. Mana tahu ada benda lucu berlaku di sekitar situ.

Alia masih ketawa sambil menuding ke arah lelaki yang berlumuran dengan kek cawan. Yati turut senyum walaupun tidak tahu cerita hujung pangkal!

“Err..saudari maafkan saya fasal tadi. Sebenarnya saya tak sengaja tadi. Boleh berkenalan?”

Alia berhenti ketawa. Dia pandang lelaki tadi. Lelaki itu diamati atas bawah. Rambut kerinting kembang, bercermin mata besar, hidung mancung, berkumis nipis, kulit agak putih, tidak begitu tinggi dan yang pasti lelaki itu memakai baju kotak-kotak berwarna merah dengan seluar jeans lusuh yang koyak di bahagian lutut.

“Terima kasih sajalah saudara..” Alia cepat-cepat tarik tangan Yati dan beredar dari situ.

“Lia, itu salah satu petua untuk cari calon suami! Kek cawan terbang!” Yati senyum penuh makna.

Sumber cerpen

 

Author: nikhanz

Hai, saya Nik. Terima kasih kerana layari blog saya! Ikuti saya di laman sosial terpilih.

Leave a Reply