Kejadian tanah runtuh di Hulu Langat

Baru-baru ini (ahad lepas) kita digemparkan dengan kejadian Tanah runtuh di Hulu Langat. Berikut adalah paparan video dan coretan akhbar

Keterangan individu, saksi diambil

AMPANG: Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat yang mengorbankan 16 nyawa, Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata setakat ini polis sudah mengambil keterangan beberapa individu dan saksi di lokasi kejadian sejak malam Sabtu lalu.

Beliau berkata, polis juga akan mengambil keterangan pemilik tanah dan madrasah itu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung beberapa perkara selepas keadaan pulih.

“Dalam kejadian tanah runtuh ini, polis bukan saja menyiasat dari sudut kematian, termasuk sama ada wujud unsur kecuaian atau kelalaian mana-mana pihak.

“Kita juga akan mendapatkan maklum balas dari beberapa pakar untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya kepada pemberita di Hospital Ampang di sini, semalam.

Tun Hisan berkata, laporan awal diterima pihaknya dari agensi berkaitan mendapati hujan luar biasa sehingga 80 milimeter (mm) pada hari kejadian mungkin punca kejadian tanah runtuh itu, selain aktiviti pembersihan hutan berhampiran lokasi berkenaan.

Sementara itu, polis mengawal sekitar lokasi kejadian 24 jam berikutan laporan cerun bukit di belakang madrasah itu dikatakan masih berbahaya serta berisiko kerana masih berlaku pergerakan tanah.
“Kita membuat kawalan bagi memastikan keselamatan orang ramai serta harta benda di madrasah itu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menjauhi lokasi kejadian atas sebab keselamatan kerana cerunnya dikatakan masih berisiko untuk runtuh.

“Malah, kerja pembersihan juga belum dapat dilaksanakan oleh agensi bertanggungjawab sehingga mendapat kebenaran Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Author: nikhanz

Hai, saya Nik. Terima kasih kerana layari blog saya! Ikuti saya di laman sosial terpilih.

1 thought on “Kejadian tanah runtuh di Hulu Langat”

  1. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa yang kehilangan ahli mereka yang tersayang lagi tercinta, semoga cepat sembuh pula bagi mereka yang terselamat dalam tragedi ini dan mudah-mudahan dapat meneruskan kehidupan. Bagi pihak berwajib, siasatlah apa yang patut.

Leave a Reply